Tentang Desaverse
Prasekolah

Fizikal dan Kesejahteraan Diri dalam Kurikulum Prasekolah 2026

22 standard pembelajaran dalam tiga kemahiran: memerhati dan melakukan; koordinasi dan kawalan; dan menggabung dan mereka cipta.

Bidang pembelajaran ini merangkumi perkembangan fizikal dan kesihatan. Perkembangan fizikal merupakan asas kepada pelbagai pergerakan kompleks yang diperlukan dalam kehidupan harian untuk membentuk kecergasan dan ketangkasan tubuh, seterusnya menyumbang kepada kecerdasan minda. Bidang pembelajaran ini juga menekankan kesedaran mengenai kesihatan merangkumi pemakanan sihat, penjagaan kebersihan dan keselamatan yang perlu diterapkan sejak awal supaya menjadi amalan dalam kehidupan harian murid. Selain itu, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) juga turut diberi penekanan dalam bidang pembelajaran ini.

Memerhati dan melakukan

FK 1.1 Memahami kepentingan koordinasi dalam pergerakan.
  • FK 1.1.1
    Meniru pelbagai aktiviti pergerakan berdasarkan konsep pergerakan. Konsep pergerakan melibatkan: • Kesedaran tubuh badan (bentuk, imbangan, dan layangan). • Kesedaran ruang (ruang diri, ruang am dan batasan ruang), arah (depan, belakang, kanan, kiri, atas dan bawah), aras (rendah, sederhana, tinggi) dan laluan (lurus, berlengkok, spiral dan zig-zag). • Kualiti pergerakan (laju dan perlahan).
  • FK 1.1.2
    Melakukan pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor. • Lokomotor - berjalan, berlari, berskip, mencongklang (gallopping), melonjak, menggelongsor, melompat dan melompat sebelah kaki (hopping). • Bukan lokomotor - membongkok, memusing, mengayun, meregang, menarik, menolak, meringkuk, mengilas dan mengimbang.
FK 1.2 Meniru pelbagai kemahiran manipulasi alatan.
  • FK 1.2.1
    Meneroka pelbagai aktiviti yang melibatkan alatan. Peluang diberikan kepada murid untuk meneroka alatan dengan cara mereka sendiri bagi menggalakkan kreativiti.
  • FK 1.2.2
    Melakukan pelbagai aktiviti menggunakan anggota badan dan alatan. Contoh: • Bermain doh, berkebun dan menuang air (tangan dan alatan) • Menendang bola, mengayuh basikal dan berjalan di atas imbangan (kaki dan alatan) • Bermain gelung rotan, memanjat dan merangkak di dalam terowong (seluruh badan dan alatan)
FK 1.3 Memerhati dan mengetahui cara hidup yang sihat dan selamat.
  • FK 1.3.1
    Mengenal pasti makanan dan minuman yang sihat dan selamat. • Makanan dan minuman yang sihat merujuk kepada pengambilan makanan yang seimbang daripada pelbagai kumpulan makanan dan diambil dalam kuantiti yang sederhana berpandukan piramid makanan Malaysia (asas sahaja) dan Pinggan Sihat Malaysia. • Pemakanan sihat penting dalam menyokong tumbesaran dan perkembangan optimum murid. Pengukuran berkala berat badan dan ketinggian murid perlu dilaksanakan bagi tujuan pemantauan tumbesaran mereka sekurang-kurangnya dua kali setahun dalam sela masa lima bulan. • Makanan yang selamat merujuk kepada makanan yang bersih tidak terdedah dan disimpan di tempat yang sepatutnya. • Lihat, bau dan rasa terlebih dahulu (tarikh luput, berbau, basi/masam) untuk memastikan makanan selamat untuk dimakan.
  • FK 1.3.2
    Mengetahui cara makan dan minum yang betul. • Makan dan minum dengan cara yang betul dengan menunjukkan adab sopan serta menjaga kebersihan. • Perkara yang perlu diberi perhatian semasa makan dan minum: o Cara cuci tangan yang betul sebelum dan selepas makan (Sumber KKM: 7 langkah mencuci tangan). o Pegang peralatan makan dengan cara yang betul, tidak berkongsi alatan semasa makan. o Ambil makanan dalam jumlah yang sesuai dan menghabiskannya. Kunyah makanan sehingga halus dengan mulut tertutup dan tidak makan secara terburu-buru. o Duduk dengan cara yang betul semasa makan.
  • FK 1.3.3
    Mengetahui cara menjaga kebersihan diri. PEERS Kebersihan diri merangkumi anggota tubuh termasuk organ genital, pakaian dan alatan keperluan diri seperti: • Anggota tubuh - mandi, membersihkan organ genital, mencuci tangan, menggosok gigi dan memotong kuku. • Pakaian - memakai pakaian yang bersih dan memakai pakaian dalam. • Alatan keperluan diri - tidak berkongsi alatan peribadi seperti sikat, berus gigi, tuala, pakaian dalam dan sapu tangan.
  • FK 1.3.4
    Mengetahui sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat. PEERS • Nama bahagian tubuh termasuk organ genital. • Kemahiran berkata TIDAK kepada sentuhan tidak selamat pada bahagian tubuh seperti payudara, paha, punggung, dubur, faraj dan zakar. • Tubuh anda adalah kepunyaan anda. Tiada sesiapa boleh menyentuh tubuh anda sekiranya anda berasa tidak selamat. • Sentuhan pada tubuh adalah untuk tujuan kebersihan, kesihatan dan keselamatan dengan kehadiran ibu, bapa atau penjaga.
  • FK 1.3.5
    Mengenali jenis penyakit dan cara mencegah penyakit. • Penyakit yang perlu diberi penekanan adalah seperti batuk, selesema, sakit mata, cacar air, denggi, demam campak, COVID-19, Influenza serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). • Pendedahan mengenai etika batuk dan bersin. • Keperluan meminta bantuan orang dewasa untuk mendapatkan rawatan.
  • FK 1.3.6
    Mengenal pasti cara mengelak daripada kecederaan semasa aktiviti harian. • Risiko kecederaan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja sama ada di rumah, sekolah, taman permainan mahupun di jalan raya. • Contoh tindakan yang boleh diambil untuk mengelak kecederaan adalah seperti berikut: o Di rumah - bermain air dengan pengawasan ibu bapa, memastikan tangan kering sebelum menyentuh suis atau peralatan elektrik dan tidak bermain api. o Di taman permainan - menunggu giliran untuk menggunakan peralatan permainan, mengelakkan berebut dan tolak-menolak antara satu sama lain. o Di sekolah - menggunakan peralatan tajam seperti gunting dan pensel dengan berhati-hati dan tidak mencucuk rakan lain. o Di jalan raya - mengikuti peraturan di jalan raya seperti beratur ketika menaiki bas.

Koordinasi dan kawalan

FK 2.1 Melakukan pergerakan badan dengan selamat untuk memenuhi keperluan aktiviti harian.
  • FK 2.1.1
    Melakukan pelbagai aktiviti yang melibatkan koordinasi, kawalan badan, kesedaran ruang dan ketangkasan dengan selamat. Contoh: • Aktiviti secara individu: Permainan mengelak halangan, berjalan di atas garis lurus atau papan keseimbangan dan menari. • Aktiviti secara kumpulan: Gotong-royong, senamrobik dan permainan tradisional.
FK 2.2 Menggunakan alatan dengan cekap.
  • FK 2.2.1
    Mengaplikasi kemahiran manipulasi dalam aktiviti harian. Contoh: • Motor halus: Membutangkan baju, menguntai manik dan menguli doh. • Motor kasar: Memerah kain untuk mengelap, mengemop, menyapu dan menyiram pokok.
  • FK 2.2.2
    Menggunakan alatan dengan betul dan selamat. • Penggunaan alatan dengan cara yang betul dan selamat serta penjagaan keselamatan diri dan orang lain. • Cara penyimpanan yang betul perlu diamalkan selepas alatan digunakan.
FK 2.3 Mengamalkan cara hidup yang sihat dan selamat.
  • FK 2.3.1
    Mengamalkan pemakanan sihat dan selamat.
  • FK 2.3.2
    Mengamalkan cara makan dan minum yang betul.
  • FK 2.3.3
    Mengamalkan penjagaan kebersihan diri dan persekitaran. Contoh: • Cuci tangan dengan cara yang betul. • Gosok gigi dengan cara yang betul (jangan terus berus gigi selepas makan kerana mulut akan berada dalam keadaan yang sedikit berasid. Ini akan menyebabkan gigi rapuh dan jika digosok, gigi mungkin terhakis). • Tutup mulut sekiranya batuk atau bersin. • Buang sampah di tempat yang betul.
  • FK 2.3.4
    Mengaplikasikan kemahiran mengatakan TIDAK kepada sentuhan yang tidak selamat. PEERS Selain daripada kemahiran menyatakan TIDAK kepada sentuhan yang tidak selamat, perkara berikut juga perlu diberi penekanan: • Kemahiran menjaga keselamatan diri: jerit, lari dan lapor. • Kemahiran mengelak diri daripada orang yang tidak dikenali.

Menggabung dan mereka cipta

FK 3.1 Melaksanakan aktiviti gabungan pergerakan badan.
  • FK 3.1.1
    Melakukan gabungan pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor mengikut muzik atau tanpa muzik.
  • FK 3.1.2
    Melakukan pergerakan badan mengikut imaginasi. Contoh: Pergerakan seperti haiwan, tumbuhan dan kenderaan.
  • FK 3.1.3
    Bekerjasama untuk menghasilkan gabungan pergerakan secara kreatif.
FK 3.2 Menggunakan pelbagai bahan dan alatan untuk melakukan aktiviti kreatif.
  • FK 3.2.1
    Bermain pelbagai permainan menggunakan bahan dan peralatan ubah suai yang selamat. Contoh: Bermain boling dengan menggunakan buah kelapa sebagai bola manakala tin atau botol minuman sebagai pin.
  • FK 3.2.2
    Menghasilkan dan bermain permainan inovatif menggunakan pelbagai bahan dan alatan. Contoh: Improvisasi permainan ‘Helang dengan Ayam’ kepada ‘Nelayan dengan Ikan’. Nelayan menggunakan surat khabar sebagai jaring untuk menangkap ikan.

Tahap penguasaan Fizikal dan Kesejahteraan Diri

Guru menilai anak pada tiga tahap bagi setiap Standard Prestasi di bawah. TP3 ialah tahap tertinggi.

FK 1Menunjukkan kecekapan dalam kemahiran motor kasar yang diperlukan untuk melakukan pelbagai aktiviti harian.
TP1 Murid boleh melaksanakan aktiviti yang melibatkan pergerakan badan, kurang tangkas dan tidak terkawal.
TP2 Murid boleh melaksanakan aktiviti yang melibatkan pergerakan badan, kurang tangkas tetapi terkawal.
TP3 Murid boleh melaksanakan aktiviti yang melibatkan pergerakan badan dengan tangkas dan terkawal.
FK 2Mengkoordinasi dan mengawal motor halus untuk melakukan aktiviti atau pergerakan dengan lebih cekap dan tepat.
TP1 Murid boleh melakukan koordinasi mata dengan tangan dan kawalan motor halus dengan bimbingan.
TP2 Murid boleh melakukan koordinasi mata dengan tangan dan kawalan motor halus dalam aktiviti harian yang mudah.
TP3 Murid boleh melakukan koordinasi mata dengan tangan dan kawalan pergerakan dengan cekap dalam aktiviti harian yang kompleks.
FK 3Menunjukkan kesedaran tentang penjagaan keselamatan diri dalam aktiviti harian.
TP1 Murid boleh mengelakkan diri daripada situasi berbahaya dengan bimbingan.
TP2 Murid boleh mengenal situasi berbahaya dan mengambil tindakan untuk mengelakkan situasi berbahaya.
TP3 Murid boleh mengenal situasi berbahaya dan kemungkinan terjadinya situasi yang berbahaya serta mengambil tindakan untuk mengelakkan situasi berbahaya diri sendiri dan orang lain.
FK 4Menjaga kebersihan diri dan persekitaran.
TP1 Murid boleh mengurus kebersihan diri dan menjaga kebersihan persekitaran dengan bimbingan.
TP2 Murid boleh mengurus kebersihan diri dan menjaga kebersihan persekitaran tetapi masih kurang menyeluruh.
TP3 Murid boleh mengurus kebersihan diri dan menjaga kebersihan persekitaran dalam kehidupan harian.
FK 5Mengamalkan pemakanan sihat dan selamat.
TP1 Murid boleh memilih makanan dan minuman yang sihat dan selamat.
TP2 Murid boleh mengamalkan pemakanan sihat dan selamat dengan bimbingan.
TP3 Murid boleh mengamalkan pemakanan sihat dan selamat.

Teks standard disalin daripada Dokumen Kurikulum Prasekolah 2026 (KPM, terbitan 2025), halaman 49 hingga 66.

Lihat bidang lain dalam Kurikulum Prasekolah 2026