Sosioemosi dalam Kurikulum Prasekolah 2026
37 standard pembelajaran dalam empat kemahiran: memahami dan membezakan; ekspresi; mengurus; dan menghargai dan menghormati.
Bidang pembelajaran ini memberi penekanan kepada proses mengembangkan keupayaan murid untuk mengenal dan mengurus emosi sendiri serta keupayaan membina hubungan diri dengan orang lain dan persekitaran. Perkembangan sosioemosi adalah penting kerana dapat membantu murid untuk memahami diri sendiri dan membina kemahiran sosial yang diperlukan untuk kehidupan harian. Perkembangan ini adalah asas kepada pembinaan konsep kendiri yang positif dan seterusnya, membolehkan murid bersedia menangani cabaran dalam kehidupan.
Memahami dan membezakan
-
SE 1.1.1Mengetahui pelbagai jenis emosi. Jenis-jenis emosi adalah gembira, sedih, takut, marah dan malu.
-
SE 1.1.2Mengenal pasti emosi sendiri. Sekiranya murid hanya dapat mempamerkan emosi mereka melalui perlakuan sahaja, guru perlu membimbing mereka untuk menceritakan perkara dan emosi yang berkaitan supaya murid dapat mengenal emosi mereka sendiri. Contoh: Semasa bermain di taman permainan, Murid A menangis teresak-esak apabila kawan lain tidak membenarkannya bermain gelongsor walaupun telah lama beratur menunggu giliran. Guru : Murid A, mengapakah kamu menangis? Murid A : Mereka tak bagi saya main gelongsor. Guru : Maksudnya kamu berasa sedih kerana tidak dapat main gelongsor. Murid A : Ya, cikgu. Saya sedih. Saya sudah lama beratur.
-
SE 1.1.3Membezakan emosi dalam situasi yang pelbagai.
-
SE 1.1.4Meneroka minat dan kekuatan diri sendiri.
-
SE 1.2.1Menyatakan sebab terjadinya emosi tertentu.
-
SE 1.2.2Mengetahui pelbagai emosi berlaku dalam situasi yang sama. Murid dibimbing untuk memahami bahawa berlakunya dua emosi yang berbeza pada masa yang sama adalah sesuatu perkara yang normal. Contoh: Pada minggu pertama sesi persekolahan, Murid A menunjukkan kegembiraan bermain dengan rakan. Namun, ada waktunya Murid A kelihatan termenung. Apabila guru bertanya kepada Murid A, dia menyatakan bahawa dia gembira datang ke sekolah tetapi sedih tinggalkan ibunya di rumah. Murid mengalami dua jenis emosi yang berbeza dalam situasi yang sama iaitu gembira dan sedih.
-
SE 1.3.1Mengenal pasti emosi orang lain.
-
SE 1.3.2Mengenal pasti sebab terjadinya emosi orang lain.
-
SE 1.3.3Mengetahui terdapat perbezaan pandangan, perasaan dan keperluan diri dengan orang lain.
-
SE 1.4.1Mengenal pasti perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam kehidupan seharian.
-
SE 1.4.2Memahami peraturan dalam kehidupan harian.
-
SE 1.5.1Mengenal komuniti setempat. Komuniti setempat merujuk kepada penduduk, aktiviti setempat, persekitaran dan pekerjaan.
-
SE 1.5.2Menyertai aktiviti perayaan dan menghayati makna perayaan tersebut. • Contoh perayaan di Malaysia: o Hari Raya Aidilfitri o Tahun Baru Cina o Deepavali o Krismas o Hari Gawai o Hari Kaamatan • Contoh menghayati makna: Guru boleh bercerita tentang perayaan sebagai peluang untuk bermaaf-maafan, berkumpul bersama keluarga dan berkongsi kegembiraan dengan orang lain. Perayaan mengajar murid tentang pentingnya hubungan kekeluargaan, sifat memaafkan dan menghargai kepelbagaian.
-
SE 1.5.3Memahami warisan budaya masyarakat Malaysia dan global. Contoh: Permainan, seni dan kraf, makanan serta pakaian tradisional.
Ekspresi
-
SE 2.1.1Menyatakan sesuatu yang disukai atau tidak disukai.
-
SE 2.1.2Menceritakan perasaan sendiri mengenai sesuatu perkara atau peristiwa melalui pelbagai cara.
-
SE 2.2.1Menceritakan emosi orang lain melalui pelbagai cara.
-
SE 2.3.1Menunjukkan rasa prihatin terhadap objek, haiwan dan tumbuhan di persekitaran. Contoh: Alat mainan dan barangan peribadi.
Mengurus
-
SE 3.1.1Mengurus emosi sendiri dengan memilih tindakan yang sesuai.
-
SE 3.1.2Menunjukkan sikap sabar semasa berdepan dengan situasi yang tidak menyenangkan.
-
SE 3.1.3Menunjukkan daya tahan dalam situasi yang mencabar. Contoh: Murid B ingin membina Menara Kuala Lumpur menggunakan blok. Selepas beberapa kali percubaan, binaan menara tersebut runtuh. Namun, Murid B masih tidak berputus asa dan terus mencuba sehingga berjaya menghasilkan menara yang tinggi dan kukuh.
-
SE 3.2.1Mempamerkan kebolehan menyertai sesuatu permainan yang sedang berlangsung (play entry).
-
SE 3.2.2Memahami perasaan dan keperluan orang lain dan bertindak sewajarnya.
-
SE 3.2.3Menyampaikan idea dan bersedia untuk mendengar pandangan orang lain.
-
SE 3.2.4Memahami minat atau kebolehan diri sendiri dan orang lain supaya dapat bekerjasama. • Galakan diberi kepada murid untuk meneroka minat dan mengembangkan keupayaan murid. • Murid digalakkan berbincang dan memilih tugasan mengikut minat serta kebolehan masing-masing agar aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar.
-
SE 3.3.1Mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan konflik. Contoh: • Meminta maaf jika melakukan kesilapan. • Mematuhi peraturan semasa bermain di taman permainan seperti menunggu giliran ketika bermain.
-
SE 3.3.2Mengamalkan etika sosial dalam perhubungan. Contoh: • Memberi salam atau ucapan selamat kepada guru dan rakan-rakan. • Mengucapkan terima kasih apabila menerima bantuan, hadiah atau pujian. • Bersikap empati. • Tidak mengambil barang rakan tanpa izin.
Menghargai dan menghormati
-
SE 4.1.1Menghargai kekuatan dan kelemahan diri sendiri.
-
SE 4.1.2Berupaya bertindak sendiri dan mengamalkan sikap bertanggungjawab.
-
SE 4.2.1Menyayangi dan menghargai ahli keluarga.
-
SE 4.2.2Bersedia untuk berkongsi dengan orang lain.
-
SE 4.2.3Menghormati hak milik orang lain.
-
SE 4.2.4Menunjukkan sikap menghormati orang lain.
-
SE 4.3.1Menghargai bahasa, adat resam dan perayaan di Malaysia dan/atau global.
-
SE 4.4.1Menyayangi dan menghargai haiwan dan tumbuhan.
-
SE 4.4.2Menjaga kebersihan persekitaran.
-
SE 4.4.3Mengamalkan penjimatan sumber. • Sumber merujuk kepada air, tenaga, makanan dan bahan. • Contoh: o Tutup suis lampu dan kipas selepas digunakan. o Gunakan air secara berhemah dan elakkan pembaziran. o Asingkan sisa makanan untuk menghasilkan baja. o Pengurangan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle).
Tahap penguasaan Sosioemosi
Guru menilai anak pada tiga tahap bagi setiap Standard Prestasi di bawah. TP3 ialah tahap tertinggi.
Teks standard disalin daripada Dokumen Kurikulum Prasekolah 2026 (KPM, terbitan 2025), halaman 31 hingga 48.
Lihat bidang lain dalam Kurikulum Prasekolah 2026